Proses pilihan raya Pilihan_raya_umum_Malaysia_1964

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya ketika itu, Tuan Haji Mustapha Al-Bakri telah membuat pengumuman rasmi tarikh Pilihanraya Umum Kedua bahawa hari penamaan calon akan diadakan pada hari Sabtu, 21 Mac 1964, dan hari Mengundi pula ialah pada hari Sabtu, 25 April 1964. Pilihanraya kali ini diadakan serentak bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Semenanjung.[1]

Rukun pilihan raya dan amanat

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menganjurkan sebuah sidang pada hari Sabtu, 4 April 1964 dengan semua pemimpin parti politik yang bertanding, Ini bertujuan untuk mengesahkan ‘Rukun Kempen Pilihan Raya". Antara kandungan rukun ini ialah[1]:

  1. Serangan peribadi mestilah dihindarkan
  2. Debat atas pentas depan orang ramai hendaklah dielakkan. Cabaran-cabaran tidak boleh dibuat untuknya. Parti-parti lawan hanya boleh menjawab pada pentasnya sendiri.
  3. Taktik membawa beramai-ramai penyokong dari luar kawasan pilihanraya hendaklah juga dihindarkan
  4. Jangan menggunakan kongsi-kongsi gelap untuk berkempen.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail turut menyeru seluruh rakyat supaya memilih dengan bijak pada hari mengundi agar kerajaan yang berkuasa kelak dapat memberi kemakmuran yang lebih besar kepada dan negara. Baginda menyampaikan seruan tersebut dalam titah selepas sembahyang sunat Hari Raya Haji bertempat di halaman Istana Negara pada Khamis, 23 April 1964. Terdahulu daripada itu, Seri Paduka Baginda telah menyatakan rasa bangga dengan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan sejak empat tahun sebelumnya.[1]

Hebahan keputusan pilihan raya

Radio Malaysia di Kuala Lumpur dan Singapura bertugas untuk menyiarkan keputusan-keputusan pilihanraya mulai jam 12 tengah malam, 25 April 1964. Siaran tersebut diteruskan sehingga pukul tiga atau empat pagi sehingga sesebuah parti mendapat suara majoriti. Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Radio, Encik Dol Ramli. Keputusan Pilihanraya ini akan disiarkan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil melalui saluran siaran masing-masing. Siaran ini dipancarkan melalui stesen radio di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bharu, Kuala Lumpur dan Singapura.

Hari pengundian

Rakyat telah keluar membuang undi mulai pukul 8 pagi hingga pukul 8 malam. Seramai 276 orang calon bertanding merebut 102 kerusi Parlimen, manakala sejumlah 765 orang calon lagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri.

Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra bersama isteri Puan Sharifah Rodziah mengundi di sekolah Cina Kampung Perak, Alor Setar, Kedah. Tunku memakai baju hawai, iaitu baju yang sama dipakai oleh Tunku sewaktu mengundi dalam pilihanraya umum tahun 1959. Kemeja hawai yang digelar beliau ‘kemeja bertuah' itu menunjukkan gambar kapal layar iaitu logo Perikatan.[1]

Berkaitan